Chairman Message

Message From The Chairman

Ybhg Dato’ Rahmat Bin Abdul Rahman

Chairman

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera

Syukur Alhamdulillah, Persatuan Cerebral Palsy Johor kini menjangkau usia lima puluh (50) tahun sejak penubuhannya pada tahun 1967. Sekalung penghargaan diucapkan kepada ahli-ahli persatuan yang sentiasa meluangkan masa untuk menjayakan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-50.

Saya bagi pihak Persatuan Cerebral Palsy Johor merafak sembah menjunjung kasih kepada Penaung DiRaja, Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah binti Almarhum Sultan Idris Shah, Permaisuri Johor di atas inspirasi, keikhlasan dan keprihatinan terhadap kanak-kanak keperluan khas ini.

 

Kami juga merakamkan rasa penghargaan kepada Presiden Kehormat dan Menteri Besar Johor, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bin Muhammad di atas sokongan padu kerajaan negeri dan tindakan susulan yang berterusan ke atas pelaksanaan program-program dan projek yang akan memberi manfaat kepada golongan kurang upaya selaras dengan konsep “Masyarakat Penyayang”.

Persatuan ini terus berusaha untuk memastikan tahap kecemerlangan di dalam bidang perkhidmatan professional khususnya pendidikan khas, pemulihan terapi dan latihan vokasional bagi golongan cerebral palsy. Kami juga berusaha mencetuskan kesedaran kepada orang awam tentang tanggungjawab terhadap golongan ini melalui program-program seperti Jualan Amal Pasaria dan lain-lain.

Pada kesempatan ini, saya selaku Pengerusi mengucapkan jutaan terima kasih kepada Ahli Lembaga Pengarah yang menjadi tulang belakang serta bekerjasama erat dalam pelaksanaan aktiviti Persatuan ini.

Akhir kata, saya ingin merakamkan penghargaan yang tidak terhingga kepada agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, syarikat korporat dan orang awam atas usaha murni yang sentiasa menghulurkan bantuan serta bersama-sama mengambil bahagian dalam projek kutipan derma anjuran pihak Persatuan. Kesudian anda semua telah banyak membantu persatuan untuk menjalankan aktiviti yang telah dirancang sepanjang tahun 2016. Perhubungan dua hala inilah yang akan menjadi pemangkin kearah penambahbaikan pengurusan Persatuan ini.

 

Sekian Terima Kasih